Sunday, March 29, 2026

78 pesalah buang sampah jalani hukuman Khidmat Masyarakat

 

 

SWCorp Terus Giat Perkukuh Disiplin Masyarakat Melalui Program Khidmat Masyarakat Serentak

*YAN – Kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) terus menunjukkan komitmen padu dalam memastikan undang-undang kebersihan ditegakkan dengan penuh integriti. Sebanyak 78 pesalah yang diarahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) telah melaksanakan hukuman secara serentak di enam negeri pada Sabtu, membuktikan pendekatan tegas namun mendidik ini berjalan lancar dan berkesan.*

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, pelaksanaan PKM siri ketiga itu membabitkan negeri Kedah (21 orang), Perlis (5), Wilayah Persekutuan (26), Pahang (12), Negeri Sembilan (9), dan Johor (5). Antara lokasi yang terlibat termasuk Pantai Murni di Yan, Dataran Sena di Kangar, Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Taman Tasik Bandar di Temerloh, Bandar Prima Senawang, serta Kampung Senibong di Johor Bahru.

Menurut beliau, pendekatan khidmat masyarakat ini bukan sekadar hukuman, tetapi merupakan inisiatif berimpak tinggi dalam membentuk kesedaran sivik dalam kalangan pesalah.

“Melalui penglibatan langsung ini, mereka dapat memahami bahawa perbuatan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab memberi kesan buruk kepada kesejahteraan masyarakat dan kualiti ruang awam. Ia juga diharapkan dapat memupuk disiplin serta kesedaran berterusan dalam menjaga kebersihan,” ujar beliau dalam sidang akhbar di Pantai Murni, Yan.

Turut menjadi keutamaan dalam pelaksanaan program ini ialah aspek kebajikan peserta. Pejabat Kesihatan Daerah telah menempatkan petugas di lokasi bagi memantau tahap kesihatan dan memastikan peserta menjalani hukuman dalam keadaan selamat dan teratur.

Dalam pada itu, SWCorp meneruskan kesinambungan program ini dengan PKM siri keempat yang dijadualkan membabitkan lima pesalah di Perlis pada Ahad, diikuti PKM siri kelima bersama enam pesalah pada Isnin. Setakat ini, seramai 22 individu telah selesai menjalani PKM.

Dalam perkembangan lain, Khalid memaklumkan bahawa sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan di tujuh negeri setakat ini, membabitkan 1,058 warganegara dan 284 warga asing. Tindakan penguatkuasaan ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan undang-undang berkaitan kebersihan dipatuhi semua pihak demi kesejahteraan bersama.

Kerajaan menerusi SWCorp akan terus memperkasa program kesedaran dan penguatkuasaan secara berterusan demi memastikan Malaysia kekal bersih, indah, dan terpelihara untuk generasi akan datang.


Share:

0 comments:

Post a Comment

Cari